Aspirasi kerajaan Malaysia untuk meringankan beban subsidi petroleum Negara buat masa ini terpaksa diterima oleh rakyat. Rata-ratanya rakyat masih mengeluh dengan harga petrol dan diesel yang tinggi. Buat masa ini kerajaan tetap mempertahankan keputusan tidak popular mengurangkan subsidi. Pada masa yang sama harga petroleum dunia menunjukkan trend menurun. Oleh itu adalah wajar bagi rakyat mengharapkan sedikit penurunan bagi harga petrol dan diesel.
Komitmen terbaru kerajaan untuk menetapkan harga petrol dan diesel setiap bulan bermula 1 September adalah sangat dialu-alukan oleh rakyat agar harga runcit bahan itu berkadar terus dengan harga di pasaran dunia. Pada masa yang sama kerajaan wajar melihat satu aspek pengurangan harga lagi yang tidak melibatkan kos kepada kerajaan iaitu konsep harga syiling. Konsep harga syiling boleh digunakan oleh kerajaan bagi petrol dan diesel dimana syarikat penjual petroleum sendiri menetapkan harga masing-masing selepas menerima subsidi tetap kerajaan. Oleh itu ia akan mewujudkan satu suasana persaingan yang sihat. Petronas misalnya boleh menjual pada harga RM2.699 seliter petrol berbanding harga sekarang. Syarikat-syarikat lain juga boleh mengurangkan harga atau masih mengekalkan tahap harga syiling.
Pemilik stesen minyak juga boleh menggunakan strategi pengurangan harga untuk menarik pelanggan dengan mengurangkan kadar keunutngan mereka. Akhirnya, kerajaan masih mengekalkan jumlah subsidi manakala pengguna mendapat faedah dari persaingan yang sihat antara peniaga. Sebagai contoh sebuah stesen minyak boleh mengurangkan harga kepada RM2.695 jika pembeli membayar dengan tunai dan mengekalkan harga pada RM2.704 untuk petrol bagi pembeli yang membayar menggunakan kredit kad. Ini akan menggalakkan pembeli membeli menggunakan wang tunai yang akan membantu cash flow peniaga stesen minyak. Jumlah jualan tunai yang tinggi dengan pengurangan kadar keuntungan mungkin menjadi pilihan sebahagian peniaga berbanding kadar keuntungan lebih tinggi dengan jumlah jualan yang kurang.
Secara umunya kerajaan perlu meneliti setiap ruang atau peluang yang dapat membantu meringankan beban rakyat. Pada hemat saya ia wajar diberi perhatian oleh kerajaan kerana kerajaan telah menyatakan kemungkinan untuk harga bahan petroleum dijual pada harga sebenar satu masa kelak. Oleh itu, konsep harga syiling wajar diperkenalkan secepat mungkin agar ia menjadi satu amalan biasa di kalangan pengguna dan peniaga yang terlibat. Saya yakin kerajaan akan mempertimbangkan cadangan ini dengan sebaiknya dan cuba membuat satu tempoh percubaan untuk melihat kesan pelaksanaannya kelak atau mencuba konsep ini dalam skala kecil sebelum diperluaskan jika berjaya membawa manfaat kepada rakyat.
Ghazali Haji Abu
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment